MENU

DURIAN DAUN – Seorang warga emas yang hilang upaya sejak dua tahun lalu akibat penyakit kanser prostat menerima sebuah kerusi roda bagi membantu pergerakannya, di sini.

Mohd Talib Jalon, 75, yang juga menghidap penyakit darah tinggi dijaga sepenuhnya oleh isterinya. Menurut menantunya, Abu Bakar Nordin, bapa mertuanya itu dibekalkan ubat-ubatan dari hospital.

“Disebabkan penyakit tersebut, kesihatannya juga ada kalanya merosot dan tidak lalu makan, namun kebelakangan ini selera makannya kembali pulih,” katanya.

Akibat penyakitnya itu, Mohd Talib terpaksa menggunakan beg air kencing bagi memudahkannya membuang air kecil. Bantuan kerusi roda disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Zaiful Bahri Idris.

Mohd Talib turut menerima bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak dua bulan lalu bagi meringankan beban yang ditanggung.

Sementara itu, Zaiful Bahri berkata, beliau mahu masyarakat sekitar terutama jiran tetangga memainkan peranan secara proaktif dengan memaklumkan kepadanya golongan yang mengalami kesusahan dan perlu dibantu.

Katanya, bukan sahaja Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memainkan peranan dalam perkara ini malah jiran tetangga yang paling hampir juga perlu bertindak sebagai mata dan telinga kepada wakil rakyat dan memaklumkan golongan yang perlu dibantu secepat mungkin.

“Ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya, perlu dibantu dan peranan ini juga perlu dimainkan oleh barisan kepimpinan di peringkat surau, masjid mahupun penduduk kampung,” katanya.