MENU

CHEMBONG – Kenaikan bilangan kes-kes Hiv/Aids dewasa ini dilihat begitu membimbangkan biarpun pendekatan diambil pelbagai pihak dalam memupuk kesedaran kepada masyarakat.

Sehubungan itu, Kelab Prostar Daerah Rembau mengambil inisiatif turun padang bagi bertemu masyarakat di lokasi tumpuan ramai iaitu di pasar-pasar malam bagi menimbulkan kesedaran kepada mereka.

Pengerusi Kelab Prostar Rembau, Wan Eliza Fadliyana Abd Aziz berkata, pendekatan sebegini diambil dalam mewujudkan kesedaran dan pendedahan kepada masyarakat akan bahaya Hiv/Aids.

Menurutnya, tiga pasar malam sekitar Rembau dijelajahi iaitu di Kota, Pekan Rembau dan Chembong dalam mengedarkan risalah kepada orang ramai.

"Kami bukan sahaja turun mengedar risalah, malah turut menjalankan pelbagai aktiviti sampingan dalam menarik minat orang ramai.

"Antaranya mengadakan soal selidik, kuiz putaran sihat dan juga pameran Hiv/ Aids," katanya.

Eliza berkata, melalui konsep turun padang sebegini juga, masyarakat dapat didedahkan dengan lebih mendalam akan bahaya Hiv/Aids serta bagaimana penularan penyakit ini.

"Tiga lokasi yang dipilih, melihatkan tindak balas yang menggalakkan dalam kalangan masyarakat, dan selepas ini Kelab Prostar akan lebih aktif menggiatkan aktiviti turun padang ini.

"Seramai 20 remaja dan pelajar sekolah di sekitar Rembau yang merupakan ahli Kelab Prostar turut serta dalam aktiviti kali ini," katanya.

Beliau berkata, ini merupakan peluang kepada ahli kelab untuk meluangkan masa dengan melakukan perkara yang bermanfaat dan seterusnya memberikan manfaat kepada masyarakat sekitar.